Home / Kasus Korupsi / Pelaku Tindak Pidana Perdagangan Orang di Malaysia di Sidangkan .
Pelaku Tindak Pidana Perdagangan Orang di Malaysia di Sidangkan .

Pelaku Tindak Pidana Perdagangan Orang di Malaysia di Sidangkan .

EMPAT lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh berusia antara 22 tahun hingga 39 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini, kerana memperdagangkan rakan senegara untuk tujuan pelacuran.

Ketua Penolong Pengarah (D3) Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus mengesahkan kelima-lima mereka itu didakwa di mahkamah.

Menurutnya, kesemua mereka itu didakwa mengikut Seksyen 12 ATIPSOM.

“Hari ini, semua suspek didakwa di mahkamah kerana memperdagangkan rakan senegara mereka dan sebutan semula kes berkenaan pada 1 Ogos nanti,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, hasil siasatan sebelum ini didapati semua suspek menawarkan rakan senegara mereka di Bangladesh pekerjaan sebagai tukang cuci dan pembantu kedai sebagai tarikan membawa mangsa ke negara ini.

“Bila sampai di sini (Malaysia), mangsa dipaksa melacur selain dikenakan ikatan hutang atau istilahnya ‘debt bondage’,” katanya.

Sementara itu, Fadil mengesahkan, pihaknya juga berjaya menahan seorang lagi dalang kegiatan itu di Bukit Kayu Hitam, Kedah, hari ini dipercayai ketika cuba meloloskan diri ke negara jiran kerana menjadi buruan D3 Bukit Aman sejak awal Julai lalu.

Menurutnya, lelaki warga tempatan itu akan dibawa ke pejabat D3 Bukit Aman bagi siasatan lanjut dilakukan mengikut seksyen sama.

Katanya, D3 Bukit Aman memandang serius lambakan warga asing yang kemudiannya mewujudkan sindiket pemerdagangan orang di negara ini.

“D3 akan meningkatkan usaha bagi memerangi kewujudan sindiket pemerdagangan orang seperti ini terutamanya membabitkan kawasan tumpuan warga asing,” katanya.

Harian Metro pada 5 Julai lalu melaporkan, lambakan pendatang asing terutamanya warga Bangladesh di ibu negara bukan hanya menguasai pelbagai perniagaan malah membina empayar pemerdagangan orang bagi eksploitasi seks hingga mampu mengaut laba jutaan ringgit.

Kegiatan haram berkenaan dibongkar hasil kolaborasi D3 Bukit Aman bersama wartawan Skuad Khas Harian Metro.

Tugas penyamaran, risikan dan pengumpulan maklumat dilakukan hampir sebulan sebelum serbuan dilakukan.

Serbuan serentak dilakukan bermula jam 10.30 pagi itu dilakukan terhadap empat pusat pelacuran termasuk hotel dan tiga rumah kedai yang diubahsuai sekitar Kota Raya, Jalan Hang Lekiu dan Lebuh Pasar Besar.

67828774_2197783563681983_5966516650038525952_o

About admin

Pemantau Perdagangan Manusia

Comments are closed.

Scroll To Top